Tika pena berlari di atas
sebuah kanvas kosong, terasa hati ini seperti itulah jua.
Kosong.
Kosong bukan bermakna tidak
ada.
Bukan pula bermakna tidak
sedar.
Diri ini masih tersedar.
Cuma ingin dikosongkan
fikiran daripada semua masalah-masalah yang datang menjengah.
Tanpa henti. Ujian itu akan
terus mengelilingi.
Sungguh, hidup ini tidak
akan pernah sunyi daripada namanya ujian.
Kerana ujian itu perlu.
Kerana ujian itu pasti.
Kerana manusia itu perlukan
ujian.
Biarpun diri tidak mampu,
biarpun hati tidak mahu tetapi ALLAH Maha Tahu kita perlu diuji.
Untuk setiap kata yang
dilafazkan. Apakah ia benar seperti yang dikata-katakan?
Untuk setiap perbuatan yang
diamalkan. Apakah ia sudah mencapai darjah keikhlasan?
Semuanya perlu diuji..
“Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: kami telah
beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji
orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang
yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)
Diri ini cuba untuk
bertenang, tatkala ujianNya datang bertandang.
CintaNya datang tiba-tiba,
menghulur dengan sapaan yang membuatkanku kehilangan kata-kata untuk membalas
sapaan cintaNya.
Ujian tanda Allah cinta,
tetapi kenapa huluran cintaNya pahit, tidak semanis yang kita pintakan? Tidak
seperti apa yang kita inginkan?
Kadang jadi bingung dan
tertanya-tanya, kenapa harus diuji dengan sedemikian rupa?
Kadang diri tidak
tertanggung beban rasa, sehingga air mata jatuh jua dalam menahan sebak di
dada.
‘Salahkah kita menangis?
Salahkah kita merasa hiba?’
Mungkin ada yang bertanya
sedemikian.
Kita cuma hamba biasa,
bukan malaikat.
Kita punyai rasa itu.
Rasa sedih, rasa kecewa,
rasa hampa, rasa putus asa kerana sememangnya fitrah kita sebagai manusia
dibekalkan rasa-rasa itu.
Allah SWT telah anugerahkan rasa itu pada manusia. Yang
tinggal cuma bagaimana untuk kita mengawal semua rasa itu.
Tidak salah kita menangis.
Menangis bukan tanda kita
lemah. Menangis bukan tanda kita mengalah.
Menangis adalah tanda kita
mengakui kekuasaanNya. Mengakui segala takdiranNya.
Antara hati ingin dididik
menerima atau tidak, kita perlukan tangisan itu. Untuk menenangkan hati yang
gundah, untuk menenangkan emosi yang bergocak gelisah.
Mungkin ada yang masih
mampu tersenyum tatkala diuji.
Senyum atau tangis,
semuanya adaptasi rasa yang terlahir tika diuji.
Andai mampu tersenyum,
senyumlah dengan sepenuh keikhlasan dalam kesabaran. Andai ingin menangis,
tangislah dalam ratapan tangis itu dalam sujud kepadaNya.
Walau apapun ujian yang
diberikan, cubalah untuk bertabah. Cubalah untuk menjadi kuat, meskipun hati
terasa amat rapuh dan goyah.
“(Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan (di atas dunia
ini), buat menguji siapakah dalam kalangan kamu yang lebih baik amal perbuatannya,
dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(Al-Mulk: 2)
‘Subhanallah, Maha SuciMu
Ya Allah…’
Hati kembali beristighfar.
Aku mencuba. Sentiasa ingin
mencuba.
Bertenanglah duhai hati.
Bertenanglah duhai jiwa.
Itulah yang sering aku
bisikkan pada diri.
Di saat hati terasa amat
goyah, aku pohon DIA tidak menggoyahkan pegangan ini padaNya.
Walau apapun yang akan
terjadi, aku tetap ingin sentiasa berpegang teguh pada ikatan ini.
Ikatan aqidah yang
terpatri, bukan semudah-mudah untuk dilemahkan dengan bisikan-bisikan emosi.
Biarpun pada awalnya diri
tidak mampu menahan rasa-rasa yang ada, biarpun cuba menahan air mata ternyata ia gugur juga.
Pertama, memang aku
menangis kerana sedih. Sedih dengan dugaan yang datang itu, tidak mampu aku
hadapi dengan hati yang bertenang.
Kemudian aku menangis lagi.
Kali kedua, bukan menangis kerana sedih lagi. Tetapi menangis kerana terharu.
Kerana tatkala diri
bermuhasabah kembali, air mata keharuan yang mengalir kerana tersedar DIA
sedang menujukkan rasa cintaNya pada diri ini.
Cuma diri ini yang perlu memilih
sama ada mahu bersabar ataupun tidak.
Adakah ingin menerima
huluran cinta itu dengan hati yang memberontak?
Sedangkan DIA sedang
menghulur cinta.
Ya. Cinta agungNya.
Cuba tanya kembali, bahagia
itu di mana sebenarnya? Bahagia yang hakiki itu ada di dalam jiwa.
Dekat dengan diri,
sentuhlah dadamu sendiri, maka engkau akan merasakan betapa ia cukup dekat.
Bahagia itu akan hadir bila kita bersyukur dan belajar menerima apa adanya.
Cuba menerima segala
aturanNya. Maka kita sebenarnya sedang menyentuh cahaya bahagia.
Biarlah air mata yang jatuh
itu moga dapat menghapuskan rasa gelisah di jiwa. Semoga air mata yang mengalir
itulah tanda kekerdilan kita sebagai hambaNya.
Yang selayaknya untuk diuji
dan diuji dengan pelbagai dimensi. Namun, ketahuilah sesungguhnya Allah itu
Amat Adil.
Tidak akan diberikan ujian
itu melainkan DIA Maha Tahu kita mampu memikulnya. Tidak akan ditimpakan ujian
itu, melainkan DIA Maha Tahu kita perlukan ujian itu untuk kita terus menjadi
hambaNya yang kuat. Kuat dari sudut iman dan ihsan.
Kerana setiap ujian yang
hadir, adalah suatu rahmat. Tiada ujian yang buruk, melainkan semuanya adalah
ketentuan yang terbaik dari Yang Esa.
Biarpun yang diuji itu
ternampak buruk, dan tersangat buruk pada pandangan mata zahir manusia, tetapi
andai dilihat dari tembusan mata hati ternyata ianya adalah hikmah dari yang
Maha Kuasa.
Hikmah itu tidak akan
nampak andai tidak diselak. Hikmah itu tidak akan terzahir andai hati tidak
dididik untuk menerima segala ketentuan dan bersyukur dengan pemberiannya.
Benar. Tidak semudah kata
bicara. Tidak semudah lafaz yang dikata.
Rasa berat dan perit itu
hanya akan dapat dirasa oleh orang yang merasa. Tetapi cubalah ‘menelan’ rasa
itu dengan senyuman.
Meskipun kelat, meskipun
pahit, tetapi pasti ada manis yang akan terganti dari rasa pahit itu. Rasa
manis dan nikmat itu akan datang di sebalik semua kepahitan.
Pelangi pasti akan muncul
setelah ribut taufan yang melanda. Begitu jua kehidupan ini pasti akan ada
bahagia di sebalik semua duka. Yakinlah duhai hati.
“Kita akan diuji
dan terus diuji, teruslah bersabar duhai pengejar cinta Ilahi
Makin Allah uji,
makin Allah mencintai. Kata cinta kepadaNya, maka buktikanlah cinta itu dengan
akur pada setiap takdiranNya.”
p/s: Aku menulis
bukan bererti aku sudah cukup kuat menghadapi setiap ujianNya, tetapi biarlah
dengan tulisan yang terlahir daripada sebuah rasa yang ikhlas ini mampu
menguatkan hati ini tatkala ia berasa gundah dan goyah serta bisa menyentuh
jiwa-jiwa yang membacanya juga. Biarlah penulisan ini juga sebagai peringatan kita sesama manusia. Semoga kita terus kuat, terus tabah, terus
tahan diuji, terus bersabar dalam ujian-ujianNya. In shaa Allah. Amin.
No comments :
Post a Comment
Spend a little of your time to comment my entry . Thanks ya ! :D